Selepas beberapa tahun merahsiakan perhubungan mereka, akhirnya
penyanyi popular Beyonce Knowles, 26, berkahwin juga dengan kekasihnya
rappers, Jay-Z, 38.
Meskipun pada awalnya ada yang beranggapan berita itu palsu,
hakikatnya majlis tertutup yang diadakan di atas bumbung pangsapuri
mewah milik penyanyi rap, Tribeca di sini, petang Jumaat lalu, berjalan
lancar.
Menurut berita yang dilaporkan
E-News dan
People,setakat ini tiada kata-kata rasmi daripada mulut pasangan berkenaan
tetapi disahkan sumber sahih daripada saluran berita berkenaan.
Ditambah kemunculan 60,000 pokok orkid putih terus dari Thailand
yang tiba ke pangsapuri Tribeca, pada pagi Jumaat lalu, ia mengesahkan
lagi pernikahan berkenaan. Begitu juga dengan kehadiran beberapa
kenderaan SUV yang membawa kandil perak yang dihantar ke pangsapuri
berkenaan.
Apa yang lebih meyakinkan, menurut dua saluran berita berkenaan,
kehadiran kanopi putih yang tersergam dari bumbung bangunan itu,
mengiyakan lagi perkahwinan Beyonce dan Jay-Z, pada petang itu.
Desas-desus
mengenai pernikahan pasangan popular itu tersebar luas apabila Beyonce
dan Jay-Z dikatakan pergi ke dewan masyarakat di Scarsdale, di sini,
Selasa lalu bagi mendaftar dan mendapatkan lesen pernikahan mereka.
Majlis tertutup serba mewah lagi meriah yang diserikan dengan permainan muzik DJ Cassidy, bagaimanapun hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat kedua mempelai.
Antara yang dilihat hadir pada majlis berkenaan, ibu Boyence,
Tina Knowles; bapanya yang juga merangkap pengurus , Matthew, adiknya,
Solange dan juga dua bekas ahli Destiny's Child, Kelly Rowland dan
Michelle Williams.
Bertemakan rona putih, majlis yang berlangsung sehingga lewat
pagi itu, turut dihadiri pelakon Gwyneth Paltrow bersama suaminya Chris
Martin.
Beyonce dan Jay-Z mula dikesan akrab sejak 2002. Bagaimanapun
tidak pernah mendedahkan kisah perhubungan mereka berdua kepada pihak
media, meskipun gambar mereka kerap dirakam paparazzi.
Beyonce menepati kata-katanya sebagaimana yang pernah diberti tahunya kepada majalah
Cosmopolitan, Januari 2006, bahawa majlis perkahwinannya nanti hanya akan berlangsung dalam suasana serba sederhana.