Memakai tudung adalah satu kewajiban berhijab dalam Islam bagi wanita yang
telah baligh. Hukum ini tiada perselisihan disisi semua ulama daripada
keempat-empat mazhab. Ini berdasarkan firman Allah swt dalam ayat 59
Al-Ahzab dan ayat 31 An- Nur.
Seseorang itu boleh bertudung, tetapi masih melanggar aturan berhijab seperti memakai pakaian ketat atau mendedahkan anggota
tubuh yang lain.
Ulama
daripada keempat-empat mazhab juga bersepakat bahawa minimum anggota
tubuh yang perlu dihijab (tutup) ialah seluruh tubuh kecuali muka dan
tapak tangan. Bagaimana bentuk atau fesyen bagi menutup tubuh, terserah
kepada keadaan dan budaya asal sahaja ia memenuhi syarat berhijab. Sila
rujuk syarat-syarat hijab yang sempurna dalam buku Halal dan Haram
Dalam Islam oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi.
Meninggalkan
kewajipan berhijab/memakai tudung adalah berdosa. Mengingkarinya atau
mengejek orang yang memakai hijab pula boleh merosakkan akidah kerana
mengingkari sesuatu yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan
mengejek-ejek amalan agama.
Allah
swt berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan
keduanya (air dan makanan syurga) daripada orang-orang kafir. (Iaitu)
Mereka yg menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau dan
kehidupan telah menipu mereka...." (Al-A'araad:50-51).
Bagaimanapun,
berhijab adalah salah satu kewajiban daripada banyak kewajipan dalam
islam. Berhijab atau tidak berhijab semata-mata tidak menjamin seorang
itu masuk syurga atau neraka.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud
" Sesungguhnya salah seorang daripada kamu mengamalkan amalan ahli
syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara syurga melainkan
sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan kitab (qadha dan qadar),
lalu ia pun mengerjakan dengan amal ahli neraka, maka masuklah dia
kedalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang daripada kamu mengamalkan
amalan ahli neraka sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara neraka
melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan kitab (qadha
dan qadar), lalu ia pun mengerjakan dgn amal ahli syurga, maka masuklah
dia kedalamnya." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Seorang
itu jika ia sentiasa menjaga akhlaknya serta hatinya daripada
sifat-sifat keji, tetapi meninggalkan hijab, ia akan mendapat pahala
bagi kebaikan yang ia lakukan dan mendapat dosa kerana meninggalkan
hijab dan kewajipan lain, jika ada.
Di akhirat nanti, setiap kita akan dihisab
oleh Allah atas seluruh amal kita. Jika seorang wanita berhijab, tetapi
dosa-dosanya yang lain memberatkan timbangan dosa, ia akan dicampakkan
ke neraka dan wanita yang tidak berhijab walaupun berdosa, tetapi amal
kebajikannya lebih berat daripada dosa, ia akan masuk kesyurga. Hakikat
ini boleh diperlajari dari hadis Rasulullah saw yang menceritakan
seorang pelacur dimasukkan syurga kerana menyelamatkan seekor anjing
yang kehausan.
Bagaimanapun,
mereka yang mengatakan sedemikian sebenarnya tidak sedar bahawa
keengganannya untuk memakai hijab menunjukkan kewujudan unsur-unsur
tidak baik dalam hatinya. Hakikatnya seseorang itu tidak mahu berhijab,
memberi petanda bahawa dalam hatinya ada keingkaran/tidak reda terhadap
hukum Allah atau kelemahan untuk melawan rasa malu atau tekanan
persekitaran dan kehedak nafsu untuk berhias atau ego diri.
Kewujudan wanita yang berhijab, tetapi melakukan dosa-dosa lain tidak
boleh menjadi alasan bagi seorang wanita meninggalkan kewajipan
berhijab atas alasan 'yang penting hati mahu baik'. Jika alasan ini
boleh diterima, maka manusia akan mempunyai alasan bagi meninggalkan
semua kewajipan agama.
Setiap
kita haruslah mengetahui apakah kewajipan-kewajipan agama yang perlu
ditunaikan dan berusaha untuk menunaikannya tanpa melihat perbuatan
atau kecacatan orang lain kerana kita dihisab oleh Allah swt atas
perbuatan kita sendiri bukan atas perbuatan orang lain. Allah
berfirman, "Dan bahawasanya seorang manusia itu tidak memperolehi
(pahala atau dosa) melainkan apa yang diusahakannya." (An-Naj:39).
Bagi
wanita-wanita yang memakai hijab dan dikatakan sedemikian, hendaklah
bersabar, berusaha memuhasabah diri atas kritikan yang dibuat dan tidak
pula menghukum wanita yang mengatakan sedemikian dgn kafir, jahil dan
cercaan lain. Allah mengajar umat Islam dalam firmannya, "Dan
hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang
berjalan dimuka bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa
mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik," (Al-Furqan:63).
Wanita-wanita
yang memakai hijab hendaklah bersyukur atas hidayah yang Allah telah
berikan kepada mereka, tetapi tidak pula menjadikan amalan hijabnya
satu alasan untuk memandang rendah wanita lain kerana sifat sedemikian
adalah keji dan sebahagian daripada penyakit hati.