Ozlynn bersama teman lelakinya Johan. Finalis Raja Lawak dan aktres seolah-olah sengaja berpeluk, bercium di khalayak ramai untuk dapat publisiti murahan
KETIKA menulis artikel minggu ini, Zubir sudah pun berada di Jakarta untuk tugasan mewawancara bintang sensasi - Agnes Monica, kumpulan Matta dan Titi Kamal. Pun begitu, beberapa jam sebelum berlepas ke sana , Zubir berkesempatan menatap segmen hiburan akhbar tabloid harian (bukan terbitan kumpulan Berita Harian Sdn Bhd) yang memaparkan kisah cinta 'tangkap maut' bintang Raja Lawak, Johan dan aktres, Ozlynn Waty yang bagi Zubir agak memualkan!
Kenapa Zubir kata begitu, sekejap lagi kita cerita. Tapi, sebelum itu Zubir ingin mengulas sedikit mengenai penutupan 'kilang artis' Akademi Fantasia (AF), Maestro Talent & Management Sdn Bhd (Maestro) yang sudah memberhentikan operasi mereka mulai 31 Mac lalu yang khabarnya terjejas teruk gara-gara krisis ekonomi global.
Sekalipun lima bintang AF yang masih bertaring seperti Mawi, Stacy, Dafi, Mila dan Farah khabarnya diserapkan ke Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) mulai 1 April lalu, bagaimana pula dengan nasib artis lain termasuk bintang Raja Lawak kerana kononnya AESB tidak berminat dengan yang lain-lain itu. Begitu juga bekas pekerja Maestro, mereka khabarnya tidak ada kerja baru di AESB, sekadar menerima pampasan.
Bagi Zubir, penutupan Maestro turut memberi tempias kepada perjalanan AF7, kredibiliti pasti tercalar. Maaf cakaplah, Zubir tidak yakin transformasi AF7 yang dipukul canang ketika ini akan menemui sasarannya secara total. Sebelum bercakap itu dan ini, buat kerja dulu, buktikan, ini tidak, glamor serta promosi berlebih-lebihan saja yang kita mampu tonton, baca dan dengar, namun hasilnya tak nampak lagi pun!
Selain itu, Zubir juga ingin bercakap mengenai kisah percintaan bintang AF3 - Kefli dan Marsha yang kini sudah pun terlerai. Baru sekarang kedua-duanya mengaku secara terbuka mereka pernah bercinta suatu ketika dulu, namun hari ini tiada lagi kasih dan sayang. Dulu, bagai nak rak membuat penafian, sekarang dah putus, baru terhegeh-hegeh nak mengaku, hello! Zubir gelilah baca kenyataan macam tu!
Begitu juga dengan penyampai radio Era, Nana yang baru saja mengesahkan hendak berkahwin dengan Pengurus Rancangan Hitz FM, Brian Veeriah. Tahniah Zubir ucapkan, tapi jika mengimbas kembali kenyataan Nana dulu-dulu, dia juga menafikan bagai nak rak tak ada apa-apa hubungan dengan Brian tu, sekarang apa kes! Moral kisah artis seperti Nana, Kefli dan Marsha, guna logik akal sebelum bercakap!
Baiklah kita kembali kepada kisah cinta panas membara Johan dan Ozlynn. Khabarnya sudah 14 tahun Ozlynn bergelar anak seni, tapi rasanya Zubir tidak pernah melihat namanya tersenarai sebagai finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
Pun begitu, sebaik saja dia putus cinta dengan Acong dan menjalin hubungan cinta baru bersama Johan Raja Lawak, disertai kisah kontroversi apabila mereka dikatakan berpelukan dan bercium di khalayak ramai tanpa sedikitpun rasa malu, nama kedua-duanya semakin melonjak. Tahniah diucapkan sekalipun mereka mencipta nama menerusi publisiti murahan!
"Setakat ini kami langsung tak tertekan dengan kontroversi itu. Kami cuma buat apa yang kami rasa mahu buat. Kami tak hairan sebenarnya dengan kata-kata orang. Yang penting keluarga kami faham dan tahu setiap langkah kami," kata Ozlynn dalam kenyataannya kepada tabloid berkenaan.
Benar, apa yang Johan atau Ozlynn lakukan adalah hak peribadi, namun sedarkah mereka, kita hidup di dalam komuniti masyarakat Timur yang begitu sensitif dengan perbuatan sumbang seperti berpeluk dan bercium di khalayak umum, lainlah di Barat! Mereka seolah-olah sanggup menggadaikan adab tanpa mempedulikan kata-kata orang sekeliling, selain berterima kasih dengan kekecohan ini asal saja dapat perhatian!
Sebaiknya Johan mahupun Ozlynn meminta maaf atas keterlanjuran tingkah laku sumbang mereka sehingga menyinggung perasaan orang ramai, bukannya mempertahankan apa yang mereka buat sehingga sanggup membabitkan nama keluarga kononnya merestui perbuatan berkenaan!
Sementara itu, Ozlynn juga enggan mengulas panjang kononnya dia mempunyai seorang anak apabila sekadar mengakui dia menjaga seorang anak lelaki yang berusia lima tahun. Menurut sumber, Ozlynn khabarnya memang mempunyai seorang anak hasil perkahwinan terdahulu. Jika benar itu anaknya, kenapa susah sangat nak mengaku itu anaknya sendiri. Cuba ingat tragedi yang pernah menimpa Watie Elite suatu ketika dulu.
Pun begitu, sekiranya Johan mahupun Ozlynn terguris hati dan perasaan dengan kata-kata Zubir, mohon maaf dipinta, segala teguran demi kebaikan.
yaaiitt!!