RUSDI dan (gambar kecil) Sharon Paul.
KUALA LUMPUR - Selepas 15 tahun menduda, pelakon Rusdi Ramli, 38, bakal menamatkan zaman solonya dengan memilih komposer Sharon Paul sebagai isteri.
Pelakon Filem Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia XX dan komposer popular itu bakal diijabkabulkan pada pukul 8 malam, Ahad ini di sebuah kediaman eksklusif di Shah Alam, Selangor.
Rusdi mula berkenalan dengan Sharon atau nama sebenarnya Sharon Anne Paul Abdullah, 31, sejak komposer itu terlibat dalam pembikinan runut bunyi filem
Waris Jari Hantu pada tahun 2007, yang turut dilakonkan Rusdi.
Ketika ditanya apakah istimewa Sharon dari kaca matanya, menurut Rusdi, dia tidak mempunyai jawapan yang tepat.
"Orang tanya kenapa dia, saya tak tahu hendak jawab kenapa. Apa yang penting saya memang cintakan dia kerana banyak benda yang menyenangkan ada dalam diri dia," kata Rusdi yang turut menyenangi kerjaya bakal isteri kerana itu juga adalah cita-cita masa kecilnya.