Selepas membuat
comeback menerusi
When It's At Night, pelakon yang popular dengan drama
My Little Bride 18, Lee Dong-geon, berhasrat mahu menamatkan zaman bujangnya.
Aktor kacak ini begitu beriya-iya membuat pengakuan dan
berharap agar impiannya itu akan tertunai segera mungkin. Ketika berada
di satu lokasi penggambaran, Lee menerangkan dengan lebih jelas tentang
keadaan dirinya sekarang.
"Saya mahu kahwin secepat mungkin. Kalau boleh, saya nak
beristeri sebelum mengikuti kursus ketenteraan nanti. Selepas
melalui pelbagai cabaran, saya rasa lebih baik saya berkahwin sekarang.
Ikut perancangan, tahun depan saya akan ke kursus ketenteraan. Sebab
itulah saya mahu cepat kahwin tahun ini," katanya.
Lee menambah keputusan itu dibuat berdasarkan situasi keluarganya
yang sudah banyak bertanya mengenai hal itu. Ia juga berikutan menebus
hati sedih kedua orang tuanya yang baru kehilangan anak lelaki
mereka iaitu adik Lee sendiri yang mati terbunuh dalam satu pergaduhan,
beberapa bulan lepas.
"Saya rasa, selepas saya membawa orang baru dalam keluarga,
sekurang-kurang perasaan rindu kepada adik saya akan terubat dan ia
menceriakan keluarga saya. Mungkin kasih isteri boleh
mengubah segalanya," ujar Lee.
Lee turut menjelaskan ciri-ciri wanita yang menjadi pilihannya.
"Bakal isteri saya tidak semestinya popular tapi dia harus ada
banyak pengalaman dalam hidup, matang dan bersikap toleransi," katanya
yang pernah dua kali bercinta.