Sesetengah
pasangan suami isteri kurang mengerti mengenai adab dan aturan berumah
tangga. Disebabkan kejahilan itu, hubungan yang terjalin mudah menjadi
longgar, pudar dan tidak bermaya.
Justeru, Islam menggariskan adab tersendiri bagi memastikan hubungan
suami isteri sentiasa segar dan tidak mudah goyah. Berikut, antara adab
yang digariskan sebagaimana dijelaskan cerdik pandai Islam:
# Bersikap lemah lembut, terutama suami terhadap isteri. Jangan
sekali-kali berlaku kasar terhadap isteri. Ini kerana Allah s.w.t
berfirman dalam surah an-Nisa’, ayat 19, bermaksud: “Dan pergaulilah
isteri kamu semua dengan cara yang paling baik.”
# Pada kali pertama bersua, iaitu pada malam pertama, suami dianjurkan memegang isteri pada ubun-ubunnya.
# Digalakkan supaya mengerjakan solat sunat dua rakaat secara berjemaah sebelum melakukan hubungan seksual.
# Isteri hendaklah mentaati suami dalam perkara yang disuruh, selagi
suruhan dan nasihat itu tidak bertentangan dengan kehendak Allah dan
Rasul-Nya.
# Banyak melakukan aktiviti secara berjemaah seperti makan bersama,
membaca al-Quran bersama, menunjuk ajar anak-anak dan mandi bersama.
# Setiap pasangan suami isteri hendaklah tampil di hadapan yang lain
dalam keadaan kemas, bukannya kusut masai dan dalam keadaan tidak
terurus.
# Tidak menceritakan hubungan dengan pasangan kepada orang lain
kerana Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling
jahat kedudukannya di hadapan Allah pada hari kiamat nanti iaitu
seorang lelaki yang mendatangi isterinya dan seorang perempuan yang
berjimak dengan suaminya, kemudian disiarkan rahsianya itu kepada orang
lain. (Hadis riwayat Muslim)
# Setiap suami dan isteri makruh melihat aurat antara satu sama lain. Nabi s.a.w tidak pernah melihat aurat isterinya.
# Ketika berjimak, suami tidak digalakkan melakukan ‘azal
(memancutkan air mani di luar faraj isteri) kerana ia akan memutuskan
kenikmatan.
# Suami diwajibkan menyara isteri dan membelikan pakaian untuknya.
# Suami dilarang meninggalkan daripada bertegur sapa dengan isteri di luar rumah walaupun ketika nusyuz.
# Suami dilarang memalukan isteri, menjauhi isteri dan memukul
isteri pada bahagian muka. Ini kerana ada hadis bermaksud: “Seorang
sahabat telah bertanya kepada nabi mengenai hak seorang isteri terhadap
suaminya. Nabi s.a.w menjelaskan: Engkau memberinya makan apabila
engkau makan dan memberikannya pakaian apabila engkau memakai dan
janganlah engkau memukul wajahnya dan janganlah engkau memalukannya dan
janganlah engkau menjauhinya kecuali di dalam rumah sahaja.” (Hadis
riwayat Ibnu Majah dan Abu Daud)
# Suami dilarang melakukan hubungan jimak dengan isteri ketika
isteri dalam keadaan haid. Sebaik saja isteri suci, suami dihalalkan
mendatanginya dengan syarat selepas mandi hadas besar.
# Sekiranya suami itu berpoligami, hendaklah berlaku adil kepada setiap isterinya.