Dynas kembali tenang
KUALA LUMPUR: “Memang saya tertekan sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi, namun saya percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” kata pelakon dan model, Wan Intan Edrinaz Wan Mokthar atau Dynaz yang keguguran bayi sulung minggu lalu.
Dynaz, 26, berkata bayi perempuannya yang dinamakan Emma Malissa itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mont Kiara, Jumaat lalu.
“Sepanjang tujuh bulan hamil, saya tidak menghadapi masalah tetapi minggu lalu, pemeriksaan doktor mendapati degupan jantung kandungan terhenti.
“Saya dimasukkan ke wad Isnin minggu lalu dan kandungan terpaksa digugurkan,” katanya semalam.
Pemenang kategori Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) itu berkata, sepanjang di hospital, keadaannya dan suami, Mohd Hafizy Mohd Hafiz, 36, tertekan serta sedih.
“Selepas pengebumian anak kami, baru saya tenang dan mengambil apa yang berlaku sebagai sesuatu positif,” katanya.