MAKHLUK kenit sepanjang 7.2 sentimeter yang ditemui di Chile pada 2002.
Pengkaji belum berjaya sahkan spesies makhluk ditemui di Chile
BENARKAH orang kenit wujud? Persoalan itu sering difikirkan tatkala mendengar kisah makhluk berkenaan dalam cerita dongeng di merata dunia.
Orang kenit digambarkan sebagai makhluk seakan-akan manusia tetapi bersaiz amat kecil; mungkin sekecil semut atau sebesar tikus tetapi yang nyata ia amat kecil berbanding manusia.
Mengikut kisah dongeng, orang kenit kerap menyembunyikan diri daripada manusia kerana takut dicederakan atau menjadi mangsa manusia yang berganda lebih besar daripada mereka.
Bagaimanapun, seperti juga persoalan sama ada wujud gergasi, teka-teki mengenai kewujudan orang kenit terus kekal misteri yang masih tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Adakah ia sememangnya wujud sebagai satu daripada spesies hidupan misteri yang masih belum ditemui manusia atau sekadar makhluk khayalan dalam kisah dongeng? Persoalan orang kenit nyata masih membingungkan.
JENGLOT dikatakan antara spesies makhluk kenit.
Ketika minda kebanyakan kita lebih menjurus memikirkan orang kenit tidak wujud dan hanya kisah dongeng, satu penemuan menggemparkan dilaporkan di Indonesia sekitar 1970-an.
Ketika melihat bentuk fizikal 'Jenglot' yang amat kecil, banyak pihak mula beranggapan itulah orang kenit yang sering diceritakan sebelum ini. Lalu mereka mula yakin bahawa orang kenit sememangnya wujud dan buktinya adalah Jenglot.
Bagaimanapun saintis akhirnya membuktikan bahawa Jenglot bukanlah spesies hidupan tetapi lebih berupa 'patung' yang diperbuat daripada cantuman bangkai haiwan.