Rasulullah
S.A.W telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis
kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat
asalnya." Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan
didatangkan seorang hamba pada hari kiamat
nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah
diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu
daripada rambut-rambut matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau
Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut
kepada Allah S.W.T, maka Allah mengharamkan matanya itu ke neraka dan
sesungguhnya aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."
Akhirnya
Allah S.W.T mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka
dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada
Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S mengumumkan, telah selamat Fulan bin
Fulan sebab sehelai rambut." Dalam sebuah kitab lain,
Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan
didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan
api yang sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana
kesusahan menghadapinya. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu
lihat (pada hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada
lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan
kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau
kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)
Sebaik
sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka
dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa
suara nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun
perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi
dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali
hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku, umatku." Beliau
ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan
keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad
berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak
orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi
hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa,
supaya engkau kembali."
Walaupun
dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat
Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat
Muhammad S.A.W" Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah
meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan
siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan menyiramkannya pada
api itu, maka padamlah api itu. Setelah itu Rasulullah S.A.W pun
bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril
berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang
menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan
untuk memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu."
Maka padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.
Telah
bersabda Rasulullah S.A.W, " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah
mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air
mata."