Angkara internet
Remaja murtad lari dari rumah selepas akrab dengan mubaligh di FacebookIA sepatutnya cuma satu kes perselisihan biasa keluarga yang
boleh berlaku di mana-mana pun, antara anak remaja yang memberontak
dengan ibu bapa yang sekadar menjalankan tanggungjawab mereka.
Malangnya, gara-gara campur tangan pihak ketiga yang bermula menerusi
internet, pertikaian itu berlanjutan dari rumah ke mahkamah, daripada
seorang Islam menjadi murtad.
Inilah nasib pasangan suami isteri Sri Lanka yang menetap di
Amerika Syarikat, Mohamed Bary dan Aysha Risana, selepas anak
kesayangan, Fathima atau turut dikenali Rifqa, 17, memeluk Kristian dan
lari dari rumah.
Dalam insiden Julai lalu, Rifqa Mohamed Bary,
meninggalkan keluarganya di Ohio dan ke Orlando selepas perkenalan
singkat dengan sekumpulan mubaligh Kristian, Global Rovolution Church
di Orlando pimpinan paderi, Blake Lorenz dan isterinya, Beverly, di
laman sembang popular, Facebook. Rifqa kini tinggal di rumah keluarga
angkat beragama Kristian itu sementara menunggu kes mahkamah berhubung
nasib dirinya, selesai.
Belum pun air mata Mohamed Bary dan Aysha Risana kering
selain cercaan sebagai ibu bapa zalim, kini mereka berdepan perebutan
hak penjagaan Rifqa selaku waris yang sah, dengan kumpulan mubaligh
berkenaan.
Dalam sekelip mata, kontroversi yang menjadi tumpuan media
antarabangsa, bualan di alam siber selain mencetuskan perbalahan agama
antara kumpulan Islam yang menyifatkan insiden itu masalah keluarga
yang dimanipulasi pihak tertentu, manakala pertubuhan Kristian
menganggapnya isu kebebasan beragama dan bukti betapa 'perang suci'
Kristian-Islam semakin ketara.
Tidak ramai menyedari, di sebalik tuduhan dilemparkan, hakikatnya
keadaan masih terkawal kerana toleransi masyarakat Islam Amerika yang
tidak mudah melatah dengan kejadian itu. Bayangkan keadaan yang pasti
lebih buruk jika Rifqa adalah remaja Kristian yang melarikan diri ke
rumah pendakwah Islam yang mungkin disusuli tunjuk perasaan serta
tuduhan jenayah culik.
Apa dikesali, kejadian itu bukan lagi bertumpu kepada
keluarga yang kehilangan anak serta kesalahan jenayah pasangan mubaligh
menyembunyikan gadis bawah umur selama tiga minggu, tetapi cubaan jahat
pihak tertentu menonjolkan Mohamed Bary dan Aysha sebagai ibu bapa
kejam yang mahu membunuh Rifqa atas alasan ‘pembunuhan bermaruah,’
biarpun seperti kenyataan polis Columbus, Ohio, menyatakan tiada bukti
bagi menyokong dakwaan itu.
Malah jika dilihat, ada dua versi berbeza mengenai kemelut
diri Rifqa ini iaitu beliau murtad selepas berkawan baik dengan
pasangan mubaligh Global Revolution Church yang ditemui di Facebook,
manakala versi lain pula mendakwa Rifqa murtad lebih setahun lalu
selepas berkawan rapat dengan anggota kumpulan gereja itu di
sekolahnya.
Namun dalam kebanyakan laporan, termasuk kecaman media
tempatan yang mempertikaikan peranan mubaligh itu yang menyebabkan
Rifqa murtad dan lari dari rumahnya. Jika tidak, mana mungkin remaja
yang biarpun berusia 17 tahun tetapi bentuk tubuhnya yang kecil
menyamai gadis 13 tahun memperoleh tiket bas yang membawanya ke rumah
Blake.
Hanya selepas tiga minggu, barulah Blake memaklumkan keluarga Rifqa
mengenai kehadiran remaja itu di rumah mereka. Belum pun reda kejutan
itu, ibu bapa Rifqa hanya mampu beristighfar melihat kemunculan anak
gadis mereka di internet yang dalam dakapan Blake, menangis dan
mendakwa diugut bunuh oleh ibu bapanya yang marah dengan tindakannya
mendekati Kristian.
“Ayah mahu membunuh saya atau mungkin menghantar saya pulang
ke Sri Lanka, ke rumah khas untuk orang murtad seperti saya,” katanya
berulang kali, seolah-olah melontarkan skrip atau dialog disediakan
pihak ketiga.
Rifqa mendakwa dirinya bakal menjadi mangsa ‘pembunuhan
bermaruah’ yang dilakukan segelintir masyarakat Muslim di pedalaman
Pakistan dan beberapa negara Arab yang lebih mengutamakan adat daripada
mematuhi peraturan sebenar Islam.
“Saya sedih melihatnya. Dia bukan seperti Rifqa yang saya
kenali. Fikirannya sudah diracuni pihak lain,” kata Mohamed Bary yang
menyangkal tuduhan anaknya.
Peguam Mohamed Bary, Craig McCarthy berkata, keluarga Rifqa
amat terkejut dengan dakwaan gadis itu kerana hakikatnya baik ibu mahu
pun bapanya bukanlah jenis zalim. Buktinya, Rifqa selama ini bebas
melakukan apa saja, termasuk memakai skirt dan menyertai pasukan sorak
yang tidak mungkin dilakukan gadis Muslim yang berasal dari keluarga
alim.
Timbul persoalan, mungkinkah beliau diajar Global Revolution
Church supaya menggambarkan kezaliman Islam dan ibu bapanya? Tanpa rasa
takut Blake secara terang-terang membuat pengakuan kepada wartawan
beliau yakin tindakannya itu sebahagian ‘perang suci’ memerangi Islam.
“Ini adalah saat-saat akhir, detik di hujung zaman. Konflik
Kristian dan Islam ini akan terus berleluasa. Konflik antara yang baik
dan syaitan ini akan semakin ketara,” kata Blake, seperti dilaporkan
media.