...ulaiman
bin Daud adalah satu-satunya Nabi yang memperoleh keistimewaan
dari Allah SWT sehingga boleh memahami bahasa binatang. Dia
boleh bicara dengan burung Hud Hud dan juga boleh memahami bahasa
semut. Dalam Al-Quran surah An Naml, ayat 18-26 adalah contoh
dari sebahagian ayat yang menceritakan akan keistimewaan Nabi
yang sangat kaya raya ini. Firman
Allah, “Dan Sulaiman
telah mewarisi Daud dan dia berkata, “hai manusia, kami telah
diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala
sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia
yang nyata.” Dan dihimpunkan
untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung, lalu
mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan) sehingga apabila
mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut, “hai
semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak
diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak
menyedari.”
Maka Nabi Sulaiman tersenyum
dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Katanya,
“
Ya Rabbi, limpahkan kepadaku kurnia untuk mensyukuri
nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada
kedua orang tuaku; kurniakan padaku hingga boleh mengerjakan
amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkan aku dengan rahmat-Mu
ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh.”
(An-Naml: 16-19)
Menurut
sejumlah riwayat, pernah suatu hari Nabi Sulaiman as bertanya
kepada seekor semut, “Wahai semut! Berapa banyak engkau perolehi
rezeki dari Allah dalam waktu satu tahun?”
“Sebesar biji gandum,”
jawabnya.
Kemudian,
Nabi Sulaiman memberi semut sebiji gandum lalu memeliharanya
dalam sebuah botol. Setelah genap satu tahun, Sulaiman membuka
botol untuk melihat nasib si semut. Namun, didapatinya si semut
hanya memakan sebahagian biji gandum itu.
“Mengapa engkau hanya
memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya?” tanya Nabi Sulaiman.
“Dahulu aku bertawakal
dan pasrah diri kepada Allah,” jawab si semut. “Dengan tawakal
kepada-Nya aku yakin bahawa Dia tidak akan melupakanku. Ketika
aku berpasrah kepadamu, aku tidak yakin apakah engkau akan ingat
kepadaku pada tahun berikutnya sehingga boleh memperoleh sebiji
gandum lagi atau engkau akan lupa kepadaku. Kerana itu, aku
harus tinggalkan sebahagian sebagai bekal tahun berikutnya.”
Nabi
Sulaiman, walaupun ia sangat kaya raya, namun kekayaannya adalah
nisbi dan terbatas. Yang Maha Kaya secara mutlak hanyalah Allah
SWT semata-mata. Nabi Sulaiman, meskipun sangat baik dan kasih,
namun yang Maha Baik dan Maha Kasih dari seluruh pengasih hanyalah
Allah SWT semata. Dalam diri Nabi Sulaiman tersimpan sifat terbatas
dan kenisbian yang tidak dapat dipisahkan; sementara dalam Zat
Allah sifat mutlak dan absolut.
Bagaimanapun kayanya Nabi Sulaiman, dia tetap
manusia biasa yang tidak boleh sepenuhnya dijadikan tempat bergantung.
Bagaimana kasihnya Nabi Sulaiman, dia adalah manusia biasa yang
menyimpan kedaifan-kedaifannya tersendiri. Hal itu diketahui
oleh semut Nabi Sulaiman. Kerana itu, dia masih tidak percaya
kepada janji Nabi Sulaiman ke atasnya. Bukan kerana khuatir
Nabi Sulaiman akan ingkar janji, namun khuatir Nabi Sulaiman
tidak mampu memenuhinya lantaran sifat manusiawinya.
Tawakal
atau berpasrah diri bulat-bulat hanyalah kepada Allah SWT semata,
bukan kepada manusia.