Fahami dosa besar elak bunuh diri KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan agama di peringkat rumah dan sekolah
yang tidak menekankan mengenai balasan melakukan dosa besar punca
beberapa kes umat Islam mengambil jalan mudah bagi menyelesaikan
masalah mereka dengan membunuh diri.
Yang Dipertua Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata,
pada masa ini, umat Islam kebanyakan golongan muda mengambil jalan
mudah untuk menyelesaikan masalah dihadapi dengan membunuh diri.
Menurutnya, sebelum ini kes bunuh diri membabitkan umat Islam jarang
berlaku kerana mereka berpegang kuat kepada pegangan agama dan
mengetahui apa hukumnya melakukan dosa besar seperti membunuh diri,
berzina serta menderhaka kepada ibu bapa.
Katanya, pada masa
ini, umat Islam tidak lagi ditekankan dengan apa sebenarnya dosa besar
dan pengajaran di sekolah hanya memberi tumpuan kepada betapa
pentingnya mengerjakan solat lima waktu, berpuasa serta mengerjakan
haji.
“Apa yang penting pada masa ini, kita perlu buat tinjauan semula
supaya sistem pelajaran di sekolah lebih mementingkan perlakuan serta
kesan dosa besar dilakukan umat Islam.
“Jika dulu ibu bapa dan guru sentiasa memberi keutamaan dalam
mengajar anak supaya jangan melakukan dosa besar kerana kesannya akan
memusnahkan siapa yang melanggarnya,” katanya ketika diminta mengulas
mengenai peningkatan kejadian bunuh diri dan cubaan bunuh diri
membabitkan umat Islam pada masa ini.
Nakhaie berkata, akibat
tidak diberikan tumpuan dalam kesalahan dosa besar, umat Islam terutama
golongan muda tidak takut melakukannya berulang kali.